suria

Indonesia Mahu Promosi 'Warteg' Di Malaysia

Kedai warteg beroperasi di selatan Tangerang di pulau Jawa. Foto The Jakarta Post/ANN

JAKARTA: Kementerian koperasi dan perusahaan kecil dan sederhana Indonesia pada Khamis memberitahu bahawa ia akan membantu mewujudkan 'warung tegal' (atau 'warteg', gerai yang menjual makanan tradisional dari Tegal di Jawa Tengah) di Malaysia tahun depan.

Pengerusi Koperasi Warteg (Kowarteg), Sastoro berkata, menteri Anak Agung Gede Ngurah Puspayoga percaya warteg mempunyai potensi yang besar di Malaysia.

"Dengan penjenamaan yang kukuh, dan juga kerana ramai rakyat Indonesia di Malaysia, saya percaya warteg boleh berjaya," katanya pada sidang media di Jakarta.

Menurut Sastoro, kementerian itu akan memudahkan akses bagi koperasi untuk membuka perniagaan berkenaan di Malaysia, termasuk mencari lokasi bersesuaian untuk mereka.

Beliau berkata, sejak Kowarteg menjadi satu entiti yang sah, ia lebih mudah menangani sebarang masalah terutama berkaitan dengan permit niaga.

Minggu lalu, Sastoro berkata, selain membuka cawangan warteg di Malaysia, Kowarteg yang mempunyai kira-kira 20,000 ahli merancang untuk membuka lebih banyak cawangan seumpama itu di Hong Kong dan Australia.

"Di Malaysia, kita akan buka di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Kita juga telah melakukan tinjauan di Hong Kong dan Melborune," katanya dipetik oleh Kompas. – The Jakarta Post/Asia News Network

warteg

Artikel Lain