suria

Mayat Mangsa Lemas Tok Bali Hanyut Ke Selatan Thailand

Operasi mencari dan menyelamat dua remaja yang lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali masuk hari keenam dengan pelbagai cara dan kaedah termasuk menggunakan khidmat Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang didatangkan khas dari Putrajaya.
 - BERNAMA

KOTA BHARU: Polis Diraja Thailand menemukan dua mayat remaja lelaki di perairan Tak Bai, Narathiwat, Thailand dipercayai mangsa yang dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata mayat pertama dijumpai pada 9.30 malam Jumaat oleh penduduk dan polis Thailand di Pantai Belawang, Narathiwat, kira-kira 45 batu nautika dari Tok Bali.

"Mayat kedua pula ditemukan pada 10.30 pagi tadi di pantai yang sama, jarak di antara kedua-dua mayat adalah lima kilometer.

"Kedua-dua mayat itu dipercayai mangsa yang terlibat dalam kejadian lemas Ahad lepas berdasarkan pakaian yang masih terlekat pada badan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Kelab Golf and Country Kelantan di sini, Sabtu.

Beliau berkata polis telah menghubungi kedua-dua keluarga mangsa berkenaan bagi memaklumkan penemuan itu dan mereka dalam perjalanan ke Hospital Narathiwat untuk proses pengecaman.

Ab Rahman berkata sekiranya anggota keluarga membuat pengesahan ke atas kedua-dua mayat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan oleh 160 anggota pelbagai agensi akan dihentikan serta-merta.

Dalam kejadian pukul 4.13 petang Ahad lepas, dua remaja dikenali sebagai Ahmad Haziem Anizam, 14, dan rakannya, Amir Azfa Rafar, 13, masing-masing dari Selising, Pasir Puteh, dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di Pantai Tok Bali.

Dua rakan mereka Muhammad Firdaus Mustafa, 16, dari Kampung Taweh, Gaal, dan Amir Shahir Zakima, 13, dari Kampung Nering Pasir Puteh, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai. - BERNAMA

Tok Bali, Lemas

Artikel Lain