KUALA LUMPUR: Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan meminta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi masa lebih lama untuk ahlinya membiasakannya diri dengan peraturan baharu berkaitan pembungkusan biodegradasi. Presidennya, Datuk Rosli Sulaiman berkata, persatuan itu menyokong langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL mengharamkan penggunaan polisterina, bagaimanapun memerlukan masa sebelum ahlinya melaksanakan langkah mesra alam sekitar itu. "Kami ada lebih 50,000 ahli dan setakat ini antara 50 hingga 60 peratus sahaja yang telah bersedia untuk melakukan perubahan daripada menggunakan bungkusan polisterina kepada bahan yang mesra alam. "Bagaimanapun, mereka masih memerlukan lebih masa untuk perubahan ini dan kami harap pihak berkuasa tidak terlalu tegas terhadap peniaga terlibat," katanya. Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee menyokong kenyataan Rosli. "Kami sedar dan faham hasrat baik kerajaan. Bagi jangka panjang tentu ia memberi manfaat, bagaimanapun situasi ekonomi tidak begitu baik, jadi kami harap DBKL tidak akan mengenakan denda terhadap peniaga. "Kami janji akan mendidik ahli persatuan untuk mula menggunakan bungkusan biodegradasi," katanya. Nada sama turut disuarakan wakil peniaga Little India, G. Gunasegaran yang mahukan lebih masa untuk menghentikan penggunaan polislerina. "Tidak dinafikan, bungkusan biodegradasi baik untuk alam sekitar, tetapi ia lebih mahal. Kami tidak mahu peniaga terpaksa mengalihkan kos kepada pengguna. "Kami akan bertemu pengeluar pembungkusan biodegradasi dan berharap mereka dapat membekalkannya pada kadar harga lebih murah, oleh itu apa yang kami mahukan sekarang adalah tambahan masa," kata Gunasegaran. Bagaimanapun, berbeza bagi peniaga Pasar Raja Bot di Chow Kit yang memutuskan untuk tidak menyokong saranan kerajaan itu. Tinjauan StarMetro ke pasar itu minggu lalu mendapati tiada peniaga yang menggunakan plastik hijau kerana menganggap ia tidak praktikal. "Beg itu terlalu kecil dan hanya boleh memuatkan dua biji mangga sahaja," kata peniaga buah-buahan, Mohd Nor Shah. Bagi peniaga sayur yang hanya mahu dikenali sebagai Ali pula berkata, beg biodegradasi itu mudah koyak kerana terlalu nipis. "Kami cuba menggunakannya tetapi ia tidak sesuai," katanya.