SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup gading gajah bernilai RM7.2 juta dari Kongo melalui pintu masuk utama negara pada 1 Januari lepas. Pengarah Kastam KLIA Datuk Hamzah Sundang berkata barang dilarang import itu ditemukan dalam 17 kotak yang diterbangkan melalui pesawat Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kinshasa, Kongo yang transit di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul, Turki ke KLIA. "Hasil pemeriksaan, kotak-kotak itu yang mengandungi 254 unit gading gajah atau seberat 846.2kg," katanya ketika sidang media di sini pada Rabu. Beliau berkata siasatan awal menunjukan gading gajah itu dicatatkan sebagai sampel kayu dan segala alamat dan pengenalan diri yang tertera dalam dokumen berkaitan juga adalah palsu. Hamzah berkata siasatan kes berkenaan sedang dijalankan dan belum ada sebarang tangkapan dilakukan. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan tanpa permit. Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda minimum 10 kali nilai barangan atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Gading gajah adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Hamzah dalam pada itu berkata sembilan kes penyeludupan gading gajah seberat 1,254kg bernilai RM10.9 juta dirampas pihak Kastam KLIA pada 2016. - BERNAMA