suria

Panjat Mercu Tanda Ipoh: KPWKM Sedia Beri Kaunseling

BESUT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia memberi kaunseling kepada sekumpulan remaja yang memanjat huruf-huruf besar yang membentuk perkataan "IPOH" di Jalan Kuala Kangsar yang menjadi viral sejak beberapa hari lepas.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata sekiranya pihak polis merasakan remaja terlibat memerlukan pendekatan kaunseling, kementerian sedia melakukannya.

"Buat masa ini pihak polis masih belum merujuk lagi kes itu kepada kami kerana semua remaja itu masih dalam siasatan.

Kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memang ada kaunselor yang profesional untuk membantu remaja sebegini dalam sesi kaunseling khas untuk mereka," katanya selepas melawat mangsa banjir di Kampung Pinang, di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai hasrat remaja perempuan itu yang dilaporkan mempunyai keinginan membuak-buak untuk sentiasa melakukan aktiviti mencabar dan mahu melakukannya di luar negara selepas ini, Rohani berkata:"Itu keputusan mereka namun, seeloknya remaja ini diberi kaunseling terlebih dahulu."

Beliau berkata:"Memang ada kaunseling dan terapi khas untuk remaja sebegini yang jiwanya sentiasa mahu melakukan sesuatu yang luar biasa dan kecenderungannya itu susah dikawal. Namun kaunseling ini hanya boleh dilakukan sekiranya mereka bersedia...ia tidak boleh secara paksa.

"Memang ada (pihak) yang kata tak apa, tak ada salah apa pun dia buat...salah tu...kalau ada apa-apa terjadi (kemalangan), mesti ada yang tuding jari (menyalahkan mana-mana pihak)."

Katanya pihaknya memandang serius perkara seperti ini kerana bimbang menjadi ikutan remaja lain.

"Perkara ini adalah sangat serius dan bahaya kerana kita khuatir ia akan mempengaruhi lebih ramai remaja untuk melakukan aktiviti berbahaya seumpama itu pada masa akan datang," katanya. 

Ketika ini, polis sedang menyiasat remaja terlibat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya. - BERNAMA

Rohani Abdul Karim

Artikel Lain