suria

Kit Makanan Permulaan Bantu Mangsa Banjir

Kit makanan sedia diedarkan ke pusat-pusat pemindahan banjir seluruh negara.

KUALA LUMPUR: Usaha Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mengedarkan Kit Makanan Permulaan di pusat-pusat pemindahan ternyata telah memberikan keselesaan kepada mangsa banjir terutama pada hari pertama pemindahan.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Zaitun Ab Samad berkata, inisiatif berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai pembekal kit, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai agensi yang menguruskan pusat-pusat pemindahan banjir seluruh negara.

"Sepanjang musim tengkujuh 2016/2017 ini,  sebanyak hampir 5,300 set kit tersebut telah diedarkan di Terengganu dan 4,600 set KMP telah diedarkan di Kelantan.

“Kit ini diisi dengan produk-produk FAMA berjenama Agromas yang sedia untuk dimakan segera tanpa perlu memasak," katanya.

Antara produk yang dibekalkan ialah biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman kopi 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis, serta barangan keperluan seperti cawan dan sudu plastik.

“Ia diberikan kepada setiap keluarga menerusi ketua isi rumah masing-masing sebaik sahaja mereka mendaftar masuk ke pusat pemindahan. 

"Keperluan-keperluan asas ini adalah sesuatu yang amat bernilai kepada mangsa, yang ada antaranya tinggal sehelai sepinggang setelah terpaksa berpindah dari rumah mereka secara tergesa-gesa,” tambahnya.




Pengedaran kit tersebut ini mula dilaksanakan sejak musim tengkujuh 2015/2016, dan merupakan salah satu SOP yang diambil daripada Model Kemaman Siap Siaga.

Model initelah diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana di peringkat tempatan.

Sementara itu,  Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, bagi memastikan kelancaran proses pengedaran kit di negeri yang terlibat, pihaknya terlibat secara langsung dalam menentukan Pusat Penyediaan Produk dan juga lokasi pengedaran kit itu sendiri.

"Kita mendapat kerjasama yang baik dari pasukan keselamatan setempat seperti JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, ATM dan JPAM yang diselaraskan oleh Nadma dalam pengedaran kit ke kawasan terlibat banjir.

"FAMA sentiasa bersedia untuk memastikan bekalan kit dapat menampung keperluan sekiranya lebih ramai mangsa dipindahkan," ujarnya.

Kit Makanan, Mangsa Banjir, FAMA, Nadma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain