KUALA LUMPUR: Subri Kader berharap rakyat Malaysia terus mendoakan supaya anaknya, Mohd Faiz mampu mengharumkan nama negara dengan meraih Anugerah Puskas Fifa untuk gol tercantik di dunia. "Mudah-mudahan dengan izin Allah serta berkat doa semua peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan, harapan itu dapat direalisasikan," kata Subri ketika dihubungi Bernama. Beliau berharap peristiwa itu sedikit sebanyak boleh menjadi suntikan semangat untuk rakyat Malaysia agar terus mencipta nama di persada antarabangsa. Walaupun tidak dapat bersama Mohd Faiz ke Zurich, Switzerland untuk majlis anugerah itu, Subri berkata beliau yang menetap di Ayer Hitam, Kedah akan menghantar anaknya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Sabtu. "Pakcik akan mengikuti siaran langsung majlis anugerah itu di televisyen," katanya. Menyentuh mengenai jaringan gol anaknya itu, Subri menyifatkan ia adalah hasil penat lelah Mohd Faiz sendiri yang sentiasa berusaha tanpa jemu. Jaringan yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' itu dilakukan Mohd Faiz ketika membantu skuad Harimau Kumbang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas. Dua lagi calon bagi anugerah itu ialah Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela.