suria

Tiong Lai Sangkal Dakwaan MCA Jauh Dari Umno

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menolak dakwaan kononnya parti itu sudah tidak relevan dan semakin menjauhkan 'diri' dari Umno. 

Katanya walaupun MCA adalah parti yang dikhususkan untuk kaum Cina, namun ia tetap terus mengeratkan jalinan kerjasama dengan komuniti Melayu, India dan kaum lain untuk sama-sama menikmati kemakmuran negara. 

"MCA sebuah parti relevan dan kita telah bersama-sama Umno dan MIC untuk wujudkan Malaysia dan mencapai keharmonian negara," katanya kepada pemberita selepas sesi 'MCA English Speaking Members' di Wisma MCA, pada Sabtu.  

Mengenai sokongan kaum Cina terhadap parti itu, Liow mengakui walaupun berdepan berdepan cabaran untuk meraih sokongan mereka, MCA tetap komited memperjuangkan kepentingan komuniti itu. 

Menteri Pengangkutan itu berkata masyarakat Cina juga perlu sedar bahawa MCA telah banyak berjasa kepada rakyat khususnya kaum itu dengan melaksanakan dasar-dasar inklusif dan pembangunan projek parti termasuk Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi). 

Menyentuh usul Persendirian berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, beliau berkata pasukan Perundangan MCA akan memberikan laporan dan hasil kajian mereka pada Ahad, sebelum ia dikaji dan dibahaskan di Parlimen.  -Bernama

MCA, Umno

Artikel Lain