JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyarankan kepada Jabatan Audit Negara untuk menjalankan audit prestasi Lembaga Pembangunan Wilauyah Iskandar (Irda), terutama susulan kelewatan projek pemulihan Sungai Segget. Timbalan menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ketika ini, jabatan itu hanya menjalankan pemeriksaan terhadap aspek kewangan Irda, walaupun kerajaan menyalurkan berbilion ringgit pelaksanaan projek itu. "Ketika saya mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Irda melalui proses audit jabatan itu tetapi hanya melibatkan aspek kewangan dan saya anggap ia tidak adil kerana Irda adalah agensi di bawah kendalian kerajaan Pusat yang menerima peruntukan berbilion ringgit. "Ia diwujudkan untuk merancang, melantik perunding dan kontraktor bagi melaksanakan projek sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa tempatan apabila selesai," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa ribut di sini, Sabtu. Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai menggesa jabatan itu untuk menjalankan audit secara menyeluruh bagi projek Sungai Segget yang dikendalikan Irda. "Sebagai wakil rakyat, saya dapat lihat adanya kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan projek itu apabila berlaku 12 kejadian banjir sejak 15 bulan lalu. Peruntukan untuk fasa satu dan dua projek yang mencecah RM30 juta dan RM40 juta itu telah disalurkan untuk tujuan landskap, sedangkan isu banjir tidak ditangani, malah semakin serius," katanya. Nur Jazlan berkata, adalah tidak wajar jika Irda menunding jari kepada pihak lain susulan kejadian banjir di sepanjang Jalan Wong Ah Fook sedangkan mereka telah dilantik sebagai agensi profesional untuk meneliti perkara itu. Irda ditubuhkan sebagai agensi profesional untuk mengambil alih tugasan pihak berkuasa tempatan bagi memantau projek utama di wilayah Iskandar Malaysia. "Saya menyokong idea dan projek itu tetapi adalah sesuatu yang mengecewakan untuk mereka menuduh pihak lain sedangkan mereka yang perlu mengambil pelbagai pertimbangan untuk mengendalikan projek itu," tambahnya. Pelbagai pihak telah mengkritik Irda susulan banjir kilat yang melanda sepanjang Jalan Wong Ah Fook di mana projek baikpulih sungai berkenaan dijalankan pada 2 Januari lalu susulan hujan berterusan di kawasan itu. Irda dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendakwa banjir kilat itu bukan kerana limpahan Sungai Segget, sebaliknya kerana saluran air tersumbat dan limpahan dari tapak pembinaan berdekatan Jalan Meldrum dan Jalan Trus di sini.