suria

Ternolol 50 Tiada Di Hospital Kerajaan Labuan

Dr Noor Hisham Abdullah

LABUAN: Jabatan Kesihatan Labuan mengesahkan tablet Ternolol 50 bagi penghidap tekanan darah tinggi tidak terdapat di farmasi hospital kerajaan di sini.

Bagaimanapun, jabatan itu menasihati mereka yang memiliki pil berkenaan supaya segera menyerahkannya ke hospital terdekat untuk diganti.

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata jabatan itu dan pihak berkuasa hospital akan melakukan pemeriksaan tentang kewujudan produk berkenaan di farmasi kerajaan.

“Sepanjang pengetahuan kami, tablet bersalut filem Ternolol 50mg yang dikeluarkan dengan nombor kelompok BG04645 dan tarikh pengeluaran April 2016, tidak terdapat di hospital kerajaan.

"Bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada produk seperti itu terdapat di klinik atau farmasi swasta," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Jabatan Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) telah mengarahkan pengeluarnya, Hovid Bhd supaya memanggil balik produk berkenaan yang dikeluarkan dengan nombor kelompok BG04645.

Dalam kenyataan pada Khamis, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana kelompok itu mengandungi kotak yang melabelkan tablet berkenaan sebagai Ternolol 50 pada bahagian luarnya, tetapi label pada blisternya bertulis Ternolol Tab 100mg Tablet bersalut filem Ternolol 50 , katanya, mengandungi bahan atenololaktif yang diberi untuk merawat tekanan darah tinggi.

“Sekiranya kelompok ini terdapat dalam simpanan anda, jangan gunakannya dan kembalikan dengan segera kepada klinik, farmasi atau kemudahan perubatan tempat ia diperoleh. Jika perlu, dapatkan penjelasan daripada petugas perubatan,"katanya.

Dr Noor Hisham berkata NPRA dan pengeluar produk itu sedang melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca masalah.

Pada 5 Januari, Hovid Bhd mengeluarkan arahan panggilan balik dengan segera bagi produk itu setelah menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan. -Bernama

Ternolol 50

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain