suria

'Pintas' Trafik Sesak Dengan Teksi Motosikal

KUALA LUMPUR: Jika tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, bukan sahaja teksi, GrabCar dan Uber penyelesaiannya, tetapi Dego Ride juga mampu menjadi 'penyelamat'.

Ia adalah perkhidmatan 'teksi motosikal' baharu yang sudah berada di jalan-jalan di Lembah Klang, menawarkan janji untuk menghantar penumpang ke destinasi masing-masing dengan lebih cepat.

"Ia adalah cara yang lebih mudah untuk meninggalkan pejabat," kata Ketua Eksekutif Dego Nabil Feisal Bamadhaj.

Beliau berkata tambangnya bermula dari RM2.50 untuk 3km pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap kilometer seterusnya.

Dego Ride bermula pada November lalu dan sedang berkembang pesat. Ia mendapat purata minimum 200 permohonan sehari.

Katanya, kira-kira 70 peratus daripada penumpangnya adalah wanita dan separuh daripada perjalanannya adalah menuju mana-mana hentian atau stesen pengangkutan awam.

Untuk menggunakannya, penumpang perlu menghantar perkataan 'RIDE' kepada nombor tertentu melalui WhatsApp sebelum mereka diberi borang tempahan untuk mengisi lokasi yang ingin dituju.

Selepas itu, perkhidmatan akan tiba dalam masa kira-kira lima hingga 15 minit.

Nabil berkata tidak semua orang boleh menjadi penunggang teksi motosikal.

Penunggang berpotensi perlu mempunyai lesen B penuh (500cc dan ke atas) dan tiada rekod polis.

Penumpang diberi perlindungan insurans sehingga RM500, namun, Nabil berkata beliau sedang melihat polisi yang lebih menyeluruh.

Dego juga menjalankan perkhidmatan kurier dipanggil Dego Send, di mana penunggang akan membuat pungutan dan menghantarnya pada hari yang sama.

Buat masa ini, Dego mempunyai kira-kira 5,500 penunggang penghantaran. Khidmat membawa penumpang melengkapkan perniagaan ini.

Dalam satu ujian perjalanan, The Star mendapati tempoh yang diambil untuk masuk dan keluar dari kawasan KLCC hanya mengambil masa kira-kira lima minit.

Tempoh masa empat kali ganda mungkin diambil untuk melengkapkan perjalanan yang sama menggunakan kereta semasa waktu puncak.

Bagaimanapun, terdapat beberapa batasan untuk Dego.

Setiap penunggang hanya boleh mengambil seorang penumpang pada satu masa dan semua perkhidmatan akan dihentikan apabila hujan.

Berjuta-juta kenderaan keluar masuk Kuala Lumpur setiap hari. Waktu pagi dan petang adalah waktu paling sibuk, menjadikan trafik sesak.

Pada hari-hari tertentu, perjalanan masuk ke pusat bandar atau sebaliknya boleh mengambil masa lebih dari satu atau dua jam.

Walau bagaimanapun, penggunaan motosikal boleh memintas masalah ini dan sampai ke destinasi dengan segera.

Teksi motosikal sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan bandar besar di Asia Tenggara.

Di Indonesia, ia dikenali sebagai 'ojek' dengan perkhidmatan ini mempunyai beribu-ribu penunggang. Di Vietnam  ia dipanggil 'xe Om'.

Walau bagaimanapun, teksi beroda dua belum pernah diperkenalkan di Malaysia apabila kereta mendominasi industri ini selama beberapa dekad.

"Mungkin ia tidak bermula di Malaysia kerana kita tidak mempunyai tahap kesesakan yang sama seperti di Jakarta dan kita tidak mempunyai jenis perjalanan tempatan seperti di bandar Vietnam," kata Penasihat Persatuan untuk Penambahbaikan Transit Massa Moaz Ahmad.

Beliau berkata di luar pusat bandar, kedudukan pejabat dan bangunan lain biasanya berjauhan antara satu sama lain.

"Saya tidak akan naik teksi motosikal dari Subang ke Petaling Jaya atau KL, tetapi mungkin akan menaikinya dari Bukit Bintang ke KLCC," katanya.

Apabila ditanya tentang undang-undang Dego Ride, jurucakap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata mereka melihat lebih ramai penglibatan orang baharu yang menunjukkan minat.

Artikel Lain