PASIR PUTEH: Lebih 33,000 pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara akan menerima elaun bulanan menerusi akaun bank masing-masing mulai tahun ini. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebelum ini pembayaran dibuat secara tunai oleh agensi di bawah kementerian itu dan proses pembayaran itu didapati lewat antara satu hingga dua bulan. "Mereka akan menerima elaun masing-masing sama dengan tarikh penjawat awam menerima gaji bulanan," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis pembayaran elaun kepada 176 pengerusi dan setiausaha JKKK peringkat Parlimen Pasir Puteh di sini, Ahad. Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman dan anggota DUN Selising, Zulkifli Ali. Ismail Sabri berkata mereka akan menerima elaun baharu sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2017 iaitu pengerusi sebanyak RM900 manakala RM400 bagi setiausaha. Ismail Sabri berkata bagi pembayaran elaun kehadiran mesyuarat bagi kira-kira 200,000 anggota JKKK yang lain, elaun mereka akan dibayar oleh agensi di bawah kementerian itu seperti biasa. Beliau berkata di Kelantan sahaja, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM22 juta untuk pembayaran elaun pengerusi, setiausaha dan anggota JKKK setiap tahun. Ismail Sabri berkata inisiatif kerajaan itu adalah bagi memperkemas dan memperkasakan peranan JKKK untuk memajukan kampung selain membantu kerajaan dalam memperjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat. "Mereka juga perlu berani mematahkan hujah dan fitnah yang dilemparkan pembangkang untuk memburuk-burukan pemimpin dengan tujuan menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi," katanya.