KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut, manakala rakannya cedera dihempap sebahagian besi penolak sampah berkuasa hidraulik seberat kira-kira setengah tan sebuah lori sampah di pusat pelupusan sampah Bukit Tagar, Kuala Kubu Bahru dekat sini, Ahad. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superitendan R. Supramaniam berkata mangsa S. Nagaraja, 49, maut di tempat kejadian manakala rakannya S. Nagaraju, 39, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh. Menurutnya, dalam kejadian 7.30 pagi itu, kedua-dua mangsa sedang mencuci baki sampah di bahagian belakang lori berkenaan sebelum dihempap peralatan itu. "Tiang besi penolak sampah yang beroperasi menggunakan kuasa hidraulik itu dikatakan rosak dan tercabut lalu menghempap mangsa serta rakannya," katanya dalam kenyataan. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sama ada ia ada kaitan dengan kecuaian, kata Supramaniam.-- Bernama