ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin memerintahkan seorang isteri dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun manakala suaminya dipenjara sehari dan didenda RM170,251.25 selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah yang dilakukan pada 2012. Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan keputusan itu terhadap Afizah Md Yusoff, 36, dan suaminya Mohamad Reduan Hussain, 39, yang kedua-duanya merupakan pensyarah di Kolej Komuniti Padang Terap. Zanol Rashid juga memerintahkan jika Mohd Reduan gagal membayar denda itu tertuduh boleh dikenakan penjara selama enam bulan. Hakim sebelum menjatuhkan keputusan itu menasihatkan pasangan berkenaan agar melakukan tindakan dengan betul sebelum membuat sebarang keputusan apatah lagi mereka merupakan penjawat awam. "Kena fikir habis-habis sejak daripada awal lagi. Ini adalah satu kesilapan dan diharapkan keputusan ini memberikan peluang untuk kamu bertaubat," katanya. Afizah didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi syarikat adik kandungnya dengan menyediakan Pesanan Kerajaan bernombor P12000029 ke atas pembekalan alat-alat ganti kelengkapan elektrik bernilai RM34,250.25, pada 14 Jun 2012, di kolej berkenaan. Ia diberikan kepada Syarikat RHA Sepakat Enterprise iaitu syarikat milik adiknya dan tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama. Suaminya, Mohd Reduan didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berkenaan dengan memperakui pesanan kerajaan itu pada 18 Jun 2012 di kolej sama, dan turut dihukum di bawah seksyen sama. Sabit kesalahan mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. Ketika rayuan, kedua-duanya menangis teresak-esak dan memohon mahkamah mengurangkan hukuman selain isteri yang mempunyai empat anak yang masih kecil berusia 10 tahun hingga dua tahun dan menyusu badan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar. - BERNAMA