KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melancarkan kempen untuk menangani penyalahgunaan platform media sosial. Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kempen " di peringkat dalaman" itu merupakan usaha untuk menangani penyebaran berita palsu menerusi media sosial dalam kalangan anggota tentera. "Sosial media perlu digunakan secara berhemah dan kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan anggota TLDM bagi mengekang penyebaran berita tidak benar. "TLDM juga berusaha menggalakkan agar anggota tentera tidak menggunakan laman sosial atau bermesej semasa mesyuarat, memandu dan di tempat ibadat. "Kita perlu menjadi contoh kepada generasi muda. "Mereka sering leka dengan telefon pintar dan gajet, dan TLDM perlu memainkan peranan untuk menunjukkan perkara boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan," katanya selepas melancarkan kempen itu di Wisma Pertahanan pada Isnin.