suria

Rakyat Sarawak Sentiasa Di Hati Adenan - Ongkili

DALAM KENANGAN... Adenan Satem disambut dengan tarian masyarakat Kayan ketika tiba bagi menghadiri sesi pertemuan mesra di Rumah Panjang Long Penai pada 1 Mei 2016. Adenan, 72, meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan kira-kira 1.20 tengah hari Rabu. fotoBERNAMA

KOTA KINABALU: Pemangku presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata seluruh negara sedih dengan pemergian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, dikenali ramai sebagai pemimpin yang tegas dan jelas dalam menyatakan pemikirannya.

"Beliau terbukti sebagai insan hebat dan Sarawak amat bertuah mempunyai beliau sebagai ketua menteri. Hari yang menyedihkan bagi Malaysia. Beliau akan dirindui. Semoga beliau bersemadi dengan tenang," kata Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataan pada Rabu.

Ongkili mengimbas kembali pertemuan terakhir mereka semasa sambutan Hari Malaysia yang dihoskan Sarawak tahun lepas dan menyifatkan Adenan sebagai seorang 'pemikir strategik dan ahli politik yang pintar dan penuh berseni'.

"Beliau pernah beritahu saya bahawa beliau hidup dengan masa yang dipinjamkan oleh Tuhan, dan beliau tidak mempunyai agenda lain, kecuali untuk memastikan Sarawak akan menjadi lebih maju dengan mendapatkan sumber daripada Kerajaan Persekutuan.

"Sifat beliau yang pendiam dan tidak banyak kerenah, tetapi tegas serta berpegang teguh dengan apa yang beliau percaya sebagai betul, boleh dijadikan model untuk dicontohi ahli politik muda," katanya.

Ongkili, yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu, berkata Adenan adalah pemimpin yang begitu tegas dalam mempertahankan hak Sarawak dan jiwanya sentiasa bersama-sama rakyat negeri itu.

Menurutnya, sebagai Ketua Menteri, Adenan ikhlas dalam tindakannya demi kebaikan rakyat dan kepimpinan beliau menjadi inspirasi bagi banyak pihak, termasuk pemimpin di Sabah.

Sementara itu, pemangku presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau pula berkata pemergian Adenan bukan sahaja ditangisi rakyat Sarawak, malah rakyat Sabah dan Malaysia seluruhnya.

"Ia suatu kehilangan besar. Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang sangat baik, kami ingin menyampaikan ucapan takziah yang tidak terhingga kepada keluarganya dan seluruh rakyat Sarawak," kata Madius.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata beliau banyak kali bertemu dengan Adenan, malah sebelum beliau menerajui MOSTI lagi.

Katanya Adenan sering bersikap seperti seorang bapa dan pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas memberi lebih banyak peluang kepadanya untuk bekerjasama dengan Adenan serta jentera Barisan Nasional pimpinannya.

"UPKO kehilangan seorang rakan dan sekutu yang sungguh rapat," kata Madius. - BERNAMA

Adenan Satem, Sarawak

Artikel Lain