PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas selepas memnerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berhubung kekosongan kerusi DUN Tanjong Datu berikutan kematian penyandangnya, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan pada Rabu berkata SPR mengambil maklum akan pengumuman pemergian Adenan. "SPR akan menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak mengenai kematian itu dan kekosongan luar jangka kerusi DUN Tanjong Datu, katanya. Mohd Hashim berkata sebarang maklumat lanjut mengenai perkara tersebut akan dibuat dari semasa ke semasa. Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2006 dan sebelum ini merupakan Anggota DUN Muara Tuang sejak pilihan raya kecil pada Januari 1979. Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.20 tengah hari Rabu di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching berikutan komplikasi jantung yang dialaminya. - BERNAMA