JELEBU: Bekas pemimpin negara perlu mengekalkan prinsip silaturrahim dengan kepimpinan semasa, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan TanSri Dr Rais Yatim. Beliau berkata mereka perlu sedar bahawa ketika mereka berkuasa, mereka juga disayangi, disanjungi dan dihormati dan kini giliran mereka pula untuk mengamalkan prinsip serupa, atau setidak-tidaknya mengekalkan prinsip bersilaturrahim itu. "Sekarang (bila) kita sudah keluar (tidak lagi berkuasa), mesti ada prinsip sekurang-kurangnya bersilaturrahim. "Dulu, bila kita menjadi pemimpin utama dan (kini) bila sudah tidak jadi pemimpin utama lagi, kita harus hormat kepada pemimpin yang sedang berkuasa,"katanya katanya ketika berucap merasmikan program Pesta Menuai dan Mengoca (menangkap) Ikan 2017 di Kampung Gagu di sini, Sabtu. Rais yang berpengalaman lama dalam politik dan kabinet menegaskan politik tidak harus menjadi punca perpecahan antara bekas pemimpin dan pemimpin sedia ada ia hanya merugikan rakyat dan negara. Semasa bercakap kepada pemberita kemudian, beliau turut melahirkan harapan agar bekas pemimpin yang berkrisis dengan kepimpinan negara ketika ini dapat kembali bersalaman dan mengikat semula silaturahim. "Tak rugi kalau minum teh balik, silaturrahim itu yang penting,"katanya. -Bernama