suria

Wanita Perlu Rebut Peluang Dalam TN50 - Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR: Golongan belia wanita perlu berani merebut peluang bagi meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka seiring dengan pelaksanaan pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penglibatan wanita dalam pelbagai sektor dan industri termasuk pentadbiran kerajaan dapat dipertingkatkan menerusi TN50 sekali gus menaikkan kedudukan mereka.

"Kita telah berkembang maju tetapi kita masih memerlukan lebih ramai wanita dalam sektor kerajaan, dunia korporat serta sektor swasta. Mereka juga mampu bergerak dan berjaya secara individu seperti perniagaan dalam talian.

"Tapi wanita kena berani dan yakin dengan diri sendiri, keluar dari kepompong kebiasaan sebelum ini untuk lebih berjaya," katanya kepada pemberita selepas menutup program 'Fearless - The Pocket Series' anjuran Pergerakan Wanita Umno di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Program sehari itu antara lain membincangkan tentang pengalaman dan pengetahuan dalam bidang kemahiran seperti ekonomi, usahawan dan pendidikan.

TN50 yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020. -Bernama

TN50, Datuk Abdul Rahman Dahlan

Artikel Lain