KUCHING: Konsulat Jeneral China di sini berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu. Konsul Jeneral China di sini Fu Jijun berkata mereka yakin dengan kebijaksanaan dan kepimpinan Abang Johari, negeri itu akan kekal stabil dari segi politik, pembangunan ekonomi dan keharmonian etnik. "Kami berharap untuk terus mengekalkan dan mengukuhkan lagi hubungan baik antara kita, secara rasmi mahupun peribadi, yang wujud antara kedua-dua negara dan jabatan kita," katanya dalam mesej kepada Abang Johari pada Sabtu yang turut dikongsi dengan media tempatan. Katanya pelantikan Abang Johari juga adalah tepat memandangkan pemimpin Sarawak itu begitu banyak menyumbang kepada negeri tersebut. Abang Johari, 66, dilantik sebagai ketua menteri Sarawak yang keenam semalam, menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada Rabu berikutan komplikasi jantung. - BERNAMA