suria

Suasana Berkabung Terus Dirasai Di Kuching

Papan iklan elektronik gergasi memaparkan ucapan takziah di atas pemergian Adenan yang kembali ke rahmatullah pada Rabu lepas semasa tinjauan fotoBernama di Jalan Tun Abdul Rahman Ya'kub pada Sabtu. Rakyat Sarawak masih lagi dalam tempoh berkabung iaitu tujuh hari.

KUCHING: Allahyarham Tan Sri Adenan Satem nyata dekat di hati rakyat Sarawak, dengan tempoh berkabung selama tujuh hari terus dirasai di sekitar bandar raya ini.

Dua papan elektronik, masing-masing satu di Jalan Satok dan Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, memaparkan ucapan takziah di atas pemergian Ketua Menteri Sarawak kelima itu.

Antara ucapan tertulis 'Salam takziah buat keluarga dan rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmahtullah Ketua Menteri Sarawak' serta 'Takziah di atas pemergian Datuk Patinggi (Dr) Tan Sri Adenan Satem. Al Fatihah' yang dibuat dalam paparan hitam putih.

Beberapa stesen minyak didapati memasang bacaan surah Al Fatihah dan Yasin manakala stesen radio seperti Sarawak FM serta Cats FM turut menyiarkan bacaan Al Fatihah, Yasin diselang-seli dengan muzik instrumental.

Malam Jumaat beberapa tempat di sekitar Kuching, orang ramai terus mengadakan acara memperingati Allahyarham Adenan mengikut kepercayaan masing-masing.

Di Pasar Malam Siniawan kira-kira 25 kilometer dari sini, hampir 80 penduduk setempat menyalakan lilin dan meletakkan kalungan bunga di lokasi yang dikhususkan di pekan tersebut.

Penghulu Siniawan, Lai Shey Hiong berkata majlis anjuran Persatuan Masyarakat Cina Siniawan mendapat reaksi positif daripada masyarakat Cina serta Bidayuh sekitar kawasan tersebut. - BERNAMA

Adenan Satem, Sarawak

Artikel Lain