SEMPORNA: Desas-desus mengenai anggota Umno dan partikomponen Barisan Nasional (BN) keluar daripada parti beramai-ramai di Sabah sejak kebelakangan ini, hanya taktik pembangkang meraih perhatian dan undi. Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata, desas-desus yang disebarkan itu adalah tidak bertanggungjawab dan hanya propaganda dimainkan dalam perhimpunan-perhimpunan anjuran pembangkang untuk mendapatkan sokongan rakyat. "Tidak dinafikan ada yang keluar (daripada parti) tetapi tidaklah sampai cawangan Umno itu bubar dan secara beramai-ramai...(taktik pembangkang) ini hanya untuk mendapat sambutan daripada kawasan-kawasan lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus anggota BN keluar parti di beberapa daerah di negeri ini. Terbaharu, 2,000 anggota Umno Bahagian Pensiangan dikatakan keluar parti dan menyertai Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal, namun perkara itu dinafikan Ketua Penerangannya, Sakim Ibrahim. -Bernama