RAUB: Tindakan berani seorang remaja lelaki membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) harus dipuji. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan Ahmad Ali Abdul Karim, 13, itu menunjukkan remaja tersebut lebih memahami perlembagaan sekalipun usianya masih muda. "(Lim) Guang Eng seharusnya malu apabila seorang remaja berumur 13 tahun ini lebih memahami Perlembagaan negara. "Saya ucapkan syabas kepada Ahmad Ali," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dan penerangan isu semasa di Universiti Teknologi Mara Raub, di sini Selasa. Beliau mengulas laporan akhbar pada Selasa yang antara lain menyebut Ahmad Ali membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor pada 24 November lepas setelah membaca artikel di laman blog Lim yang dianggapnya berbentuk kenyataan mengelirukan berhubung RUU 355. Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata pindaan RUU 355 tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan kerana usul berlandaskan kepada Perkara 3 perlembagaan yang mengatakan Islam adalah agama Persekutuan. "Sebagai sebuah negara yang diberikan status agamanya dan diperkukuhkan lagi dalam Perkara 37, sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kesucian agama Islam, kerajaan boleh mengadakan apa sahaja undang-undang yang berkaitan dengan kepentingan orang Islam selagi ia dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan," katanya. - BERNAMA