PETALING JAYA: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menegaskan, pembiayaan penajaan ke atas pasukan bola sepak Kelantan tidak membabitkan penggunaan dana tajaan pelajaran pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara). Menurut kenyataan yang dikeluarkan UniKL pada Selasa, pembiayaan penajaan itu dibuat menggunakan belanja mengurus yang diluluskan setiap tahun menerusi peruntukan khusus untuk tujuan pengiklanan dan promosi. "Sejumlah peruntukan disediakan setiap tahun untuk aktiviti promosi dan pemasaran. Aktiviti promosi UniKL tidak terhad kepada promosi di media cetak dan elektronik tapi juga promosi dalam bidang sukan. "Pemasaran dalam bidang sukan membolehkan jenama UniKL berada dekat di hati golongan muda dan masyarakat secara amnya," kata UniKL. Menurut UniKL, penajaan itu turut memberi pulangan dan impak besar kepada penjenamaan universiti tersebut apabila berjaya menarik lebih ramai pelajar mengikuti program yang ditawarkan. "Sebagai sebuah universiti yang masih baharu dan dalam proses untuk meletakkan UniKL ke mercu yang lebih tinggi, pihak universiti sentiasa mencari peluang memperkukuhkan jenama universiti ini di mata masyarakat selain meningkat kualiti pendidikan yang ditawarkan," katanya. Jelas kenyataan itu lagi, UniKL memutuskan untuk terlibat mempromosikan universiti ini dengan menjalin kerjasama dengan Kelantan sebagai rakan strategik pemasaran kerana skuad The Red Warriors (TRW) antara yang paling berjaya dalam Liga Malaysia. "Penglibatan dalam bidang sukan turut membuktikan sesebuah institusi pengajian tinggi dalam negara tidak hanya perlu berfungsi sebagai gedung ilmu tetapi mampu memainkan peranan sosial yang lebih besar. "Ini merupakan antara asas penubuhan UniKL di mana keutamaan diberi kepada melahirkan pelajar holistik dan seimbang dalam semua bidang termasuk akademik, sahsiah dan sosial," katanya. UniKL berkata penglibatan penajaan itu merupakan antara usaha UniKL mempromosikan budaya kesukanan yang membawa pelbagai budaya positif, menggalakkan pemikirian kritis dan kreatif serta amalan gaya hidup sihat. Pada Sabtu lalu, Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menegaskan Mara tidak pernah menaja skuad Kelantan termasuk anak syarikatnya tetapi membeli pakej iklan yang ditawarkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Annuar berkata UniKL membeli pakej iklan tanpa paksaan pada kadar RM300,000 sejak 2013. Katanya, UniKL berbuat demikian bagi tujuan promosi dan buktinya apabila lebih 2,000 anak Kelantan menuntut di institusi pendidikan itu.