KUALA LUMPUR: Pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad berikrar untuk kerap 'turun padang' bagi memastikan kebajikan dan agenda membangunkan 112,635 peneroka tercapai. Beliau berkata fokus utamanya memegang jawatan itu semata-mata untuk membantu dan mencari jalan penyelesaian terhadap apa sahaja masalah peneroka selaras dengan matlamat asal Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956, untuk mengangkat sosioekonomi rakyat. "Masalah sosial dan kebajikan, ini kita akan lihat, begitu juga dengan pembangunan industri-industri baharu dan aktiviti keusahawanan, itu pun kita akan tengok dan galakkan," katanya dalam temu bual khas bersama Bernama di Menara Felda di sini. Shahrir yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru diumum sebagai Pengerusi Felda yang baharu menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang tamat tempoh perkhidmatan pada 6 Januari lepas. Ketika mengumumkannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelantikan Shahrir yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah menjadi menteri di tiga kementerian, adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi kepimpinan Felda. Menurut Shahrir, antara langkah segera yang akan dilaksanakan untuk menjaga kebajikan warga peneroka adalah dengan mewujudkan satu unit naziran bertujuan mengenal pasti masalah dan potensi pembangunan di wilayah Felda seluruh negara. "Kumpulan atau unit ini akan melaporkan kepada saya mengenai kebun-kebun peneroka untuk dipulihkan, bagaimana untuk mengatasi masalah dan sebagainya," kata Shahrir yang pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Beliau berkata unit itu akan dianggotai pelbagai agensi berkaitan termasuk Felda dan MPOB. Katanya tumpuan khas perlu diberikan untuk membangunkan kebun-kebun peneroka kerana ia adalah sumber utama pendapatan mereka bagi memperbaiki taraf hidup keluarga. Beliau berkata jelajah pertamanya akan bermula esok di Felda Jengka, Pahang bertujuan membolehkannya mendapat maklumat terus daripada peneroka terlibat bagi memastikan usaha penyelesaian dibuat segera. Katanya beliau akan bertemu para pemimpin peneroka di kawasan berkenaan, disusuli meninjau perkembangan perumahan generasi kedua di Felda Padang Piol, Jerantut, Pahang. "Kita nak lihat mana yang dah siap. Ini kerana dalam fasa pertama, ada projek perintis dan kita ada enam pakej yang telah diberikan kepada kontraktor untuk dibuat. Ada rumah yang dah siap. Ada rumah yang terbengkalai. Jadi jangan tengok yang siap sahaja, kena tengok yang terbengkalai sekali," katanya. Shahrir berkata beliau juga akan beramah mesra bersama warga peneroka di Bukit Batu, Kulai, Johor pada 21 Jan ini menerusi program perhimpunan Kami Anak Felda. Dalam pada itu, Shahrir berkata beliau dan warga agensinya akan berusaha menepis kekeliruan dalam kalangan sesetengah pihak mengenai perbezaan Felda dan Felda Global Ventures (FGV). "Saya tengok masalah pada Felda ini lebih kepada persepsi dan salah faham, sehingga ramai orang tidak boleh membezakan antara FGV, sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham, dengan Felda sebagai badan pihak berkuasa. "Jadi ada salah faham dan kekeliruan, bukan sahaja di peringkat peneroka sendiri, malah kepada mereka yang merupakan pemimpin-pemimpin dunia perniagaan," katanya. -- Bernama