PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Sarawak akan diadakan 18 Februari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. Beliau berkata suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya (PRK) itu pada 4 Februari, manakala pengundian awal pada 12 Februari. PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem,akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas, di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi. Jazolkipli hanya meraih 468 undi. Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.