suria

SPRM Tahan Timbalan Pengarah Urusan Iris Corp

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Urusan Iris Corporation Bhd, Datuk Hamdan Mohd Hassan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek e-pasport Republik Guinea.

Syarikat itu mengumumkan penahanan itu pada Jumaat kerana penyalahgunaan kuasa dan pembabitan dalam kegiatan rasuah dalam projek berkenaan untuk kerajaan republik itu.

Iris Corp menandatangani kontrak 15 tahun dengan kerajaan berkenaan untuk melaksanakan kemudahan e-pasport di negara itu.

Di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama enam hari terhadap suspek untuk membantu siasatan.

"Sehingga siasatan selesai, Iris Corp ingin mengumumkan semua kuasa eksekutif Hamdan digantung dan tugas serta tanggungjawabnya sebagai pemangku CEO syarikat akan diambil alih oleh Ketua Pegawai Operasi, Choong Choo Hock.

"Tahanan reman ke atas Hamdan tidak mempunyai sebarang implikasi terhadap kesahihan kontrak antara Iris dan kerajaan Republik Guinea atau kepada projek e-pasport itu," katanya.

Iris juga memberitahu, penahanan reman Hamdan juga tidak memberi kesan terhadap pendapatan dan aset syarikat.

Syarikat berkenaan juga sedia memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang proses siasatan kes itu.

Iris Corp, SPRM, Hamdan Hassan

Artikel Lain