suria

Polis Jamin Pantau Perogol Bersiri Jika Pulang Ke Malaysia

PETALING JAYA: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan memantau perogol bersiri warga Malaysia Selva Kumar Subbiah yang bakal dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara di Kanada.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya mempunyai cara melakukan pemantauan terhadap lelaki itu.

"Walaupun tiada peruntukan undang-undang untuk memantau pesalah itu, kami ada cara tersendiri untuk melakukannya," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Selva Kumar dihukum penjara 24 tahun pada 1992 setalah didapati bersalah termasuk bagi 19 tuduhan serangan seksual. Tempoh tahanan penjaranya akan tamat pada penghujung bulan ini. 

Laporan media asing memetik pihak berkuasa Penjara Kanada sebagai berkata terdapat risiko tinggi yang Subbiah, 56 tahun, akan mengulangi perbuatannya dan mungkin membunuh.

Khalid berkata walaupun Selva Kumar melakukan perbuatan itu di Kananda, negara itu akan berkongsi rekod jenayahnya dengan PDRM.

"Kami akan menyimpan segala rekod pesalah terbabit," katanya.

Mengenai penyebaran gambar tiga kanak-kanak diikat dipercayai didera di sebuah taska dalam media sosial, Khalid berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenainya.

Semalam, polis menerima laporan mengenai kanak-kanak tersebut diikat kaki dan tangan serta mulut mereka ditutup yang didakwa berlaku di sebuah taman asuhan kanak-kanak di Bangi dekat sini.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain