SHAH ALAM: Dua juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melarikan anak pemilik kilang langsir di Sungai Buloh, selain melanggar kereta mangsa dan mencampak wanita itu dari van, pada minggu lepas. Chin Kit Loong, 27, dan Soan Chung Wei, 26, kedua-duanya dari Batu Caves, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin. Mereka didakwa bersama-sama melarikan Yap Kar Kee, 28, dengan niat menyebabkan wanita itu dikurung secara sulit dan salah selain menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dengan mencampak wanita itu dari dalam sebuah van ke atas jalan raya. Bagi kedua-dua kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama. Bagi Seksyen 365 membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda dan bagi Seksyen 325 membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. Kit Loong dan Chung Wei juga didakwa sengaja melanggar kereta jenis BMW X1 yang dipandu oleh Yap, menyebabkan kerosakan bernilai kira-kira RM500. Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan IGB International School, Jalan Sierramas Utama, Sierramas Sungai Buloh dan di selekoh berhampiran Depoh Simpanan Pertahanan Sungai Buloh, antara 6.30 dan 6.40 petang pada 10 Januari lepas. Kit Loong dan Chung Wei juga mengaku tidak bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan melanggar tiga kenderaan lain termasuk sebuah kereta dan lori, menyebabkan kerosakan kira-kira RM1,000, berhampiran Restoran Steak House Paya Jaras, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor, antara 6.45 dan 6.50 petang, pada hari yang sama. Bagi kesalahan melanggar kenderaan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Siti Shakirah membenarkan Kit Loong dan Chung Wei dibebaskan dengan jaminan RM14,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 3 Februari depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan sementara Soan diwakili peguam Edmund Bon dan Kit Loong tidak diwakili peguam.-- Bernama