PUTRAJAYA: Bagi tahun taksiran 2016, syarikat-syarikat (termasuk syarikat di Labuan) diwajibkan mengemukakan penyata oleh majikan (Borang E) secara e-filing, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Menurut LHDN dalam satu kenyataan di sini, sekiranya majikan menyerahkan Borang E kertas, maka ia dianggap tidak diterima di bawah peruntukan subseksyen 83 (1B) Akta Cukai Pendapatan 1967. Bagi majikan bukan syarikat, mereka mempunyai pilihan untuk mengemukakan Borang E sama ada secara e-Filing atau pun Borang Kertas (manual). Katanya, tarikh akhir mengemukakan Borang E Tahun Saraan 2016 kepada LHDN adalah 31 Mac ini dan sistem e-filing untuk mengemukakan Borang E akan mula dibuka mulai 1 Mac ini. "Namun demikian, bagi menggalakkan para majikan menggunakan kemudahan e-Filing, LHDN memberikan tambahan masa sehingga 30 April ini kepada majikan untuk mengemukakan Borang E Tahun Saraan 2016 secara e-Filing," katanya. Selaras dengan peruntukan subseksyen 83(1A) ACP 1967, setiap majikan adalah diingatkan untuk menyediakan dan menyerahkan penyata pendapatan tahunan (Borang EA / Borang EC) kepada semua pekerja mereka selewat-lewatnya 28 Februari 2017. Ini bertujuan membolehkan pekerja mereka melengkapkan serta mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam tempoh yang ditetapkan. -- Bernama