suria

Bunuh Isteri, Bapa Empat Anak Dihukum Gantung Sampai Mati

KUALA LUMPUR: Seorang suami yang memukul isterinya bertubi-tubi sehingga mati pada Jumaat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh wanita itu pada 2013.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamaluddin Ali, 43, bapa kepada empat anak selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh yang bekerja sebagai tukang masak itu didapati bersalah membunuh Nurhidayah A Ghani, 29, di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5 1/2 Jalan Puchong, di sini, pada 9 malam, antara 15 Mei hingga 17 Mei 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu sebelum menjatuhkan hukuman mahkamah mendengar keterangan impak mangsa daripada kakak mangsa iaitu Umi Kalsom, 41, yang memberitahu bahawa ibunya mungkin dapat menerima kematian Nurhidayah jika dia meninggal dunia akibat sakit, dan bukannya dibunuh kejam.

"Ibu saya yang mandikan jenazah arwah yang ada kesan lebam, ibu dah trauma, sering menangis dan sekarang jumpa pakar psikiatri.

"Doktor beritahu bahawa kecederaan pada tubuh badan arwah adalah sangat dahsyat, sehingga memusnahkan organ dalaman arwah," katanya dalam nada sebak.

Umi Kalsom berkata empat anak saudaranya kini menjadi anak yatim dan membesar tanpa kasih sayang dan belaian seorang ibu serta kejadian itu memberikan kesan negatif terhadap pembangunan emosi mereka kerana kejadian itu dilihat sendiri oleh anak tertuduh.

Amelia Tee dalam keputusannya berkata walaupun tertuduh mengatakan bahawa dia hanya menampar dan menendang mangsa dua kali, namun saksi-saksi termasuk kawan tertuduh sendiri memberitahu dia memukul mangsa bertubi-tubi.

"Kenyataan tertuduh adalah penafian semata-mata dan dia bayangkan isterinya dibelasah orang lain pada hari kejadian. Keterangan anak perempuan mangsa yang berusia 10 tahun juga dipercayai, kerana dia sendiri melihat ibunya dipukul oleh bapanya," katanya.

Hakim itu juga berkata laporan hospital mendapati keseluruhan badan mangsa mempunyai kesan lebam.

Terdahulu dalam rayuan, peguam Mahadi Muhammad yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya tidak mempunyai sebarang niat untuk membunuh isterinya kerana dia menyayanginya dan insiden malang itu berlaku apabila tertuduh tidak dapat mengawal kemarahan selepas melihat arwah isteri memakai pakaian menjolok mata.

Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman mati mengambil kira semua fakta dalam kes itu.

Pihak pendakwaan memanggil 24 saksi manakala mahkamah mendengar keterangan dua saksi pembelaan. - BERNAMA

hukum gantung, bunuh isteri

Artikel Lain