suria

Pasar 10 Sen Kurangkan Beban Rakyat Miskin Bandar

Orang ramai berpeluang mendapatkan barang pada harga terendah ditawarkan di Pasar 10 sen tahun lalu.

PETALING JAYA: Dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup yang semakin meningkat, tentunya mustahil untuk mendapatkan barangan atau peralatan keperluan harian pada harga serendah 10 sen.

Namun ia bakal menjadi kenyataan apabila peti ais, televisyen, baju, beg, kasut, penghawa dingin, kipas dan pinggan mangkuk berjenama antara 500 barangan sumbangan orang ramai boleh didapati pada harga tersebut.

Terima kasih kepada Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia di atas inisiatif murni ini.

Bagi memulakan aktiviti amal CP pada 2017, Pasar 10 sen akan diadakan di hadapan bangunan Blok A Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil bermula pukul 8 hingga 10 pagi Sabtu ini.

Pengerusinya, Kuan Chee Heng berkata, pasar tersebut yang sudah diwujudkan sejak dua tahun lalu bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki barangan keperluan terpakai pada harga 10 sen.

"Kami mahu meringankan beban masyarakat miskin bandar. Jadi mereka tak perlu cari duit untuk beli barangan tersebut dan boleh fokus kepada perbelanjaan keperluan asas yang penting," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Chee Heng yang terkenal dengan sikap gemar membantu golongan kurang berkemampuan berkata, kewujudan pasar itu juga diharap dapat membasmi masalah kemiskinan bandar yang boleh menyumbang kepada peningkatan gejala sosial.

"Jika kita lihat pada hari ini dengan keadaan kos hidup yang semakin meningkat, gejala sosial boleh menyumbang kepada masalah jenayah. Jika tidak dibanteras akan menjadi penyakit serius kepada negara.

"Jadi kita harap dengan Pasar 10 sen ini, kita dapat bantu kurangkan masalah miskin bandar. Setidak-tidaknya kegiatan jenayah dapat dikurangkan dari semasa ke semasa," katanya.

Ditanya mengenai harga 10 sen yang ditawarkan, Chee Heng berkata, ia sebagai penghormatan kepada pembeli bahawa mereka tidak mendapatkan barangan itu secara percuma.

"Ramai tertanya-tanya kenapa hanya 10 sen? Kita sedia maklum golongan ini tidak mampu membeli barangan tersebut. Jadi kita mahu pembeli ingat dan menghargai pemberian masyarakat Malaysia yang prihatin," katanya.

Sejak dua tahun kewujudan pasar itu, Chee Heng berkata sambutan orang ramai terhadap aktiviti amal itu amat menggalakkan sama ada dari kalangan pembeli dan penderma.

"Sambutan dari penderma amat positif. Untuk aktiviti esok, kami berjaya kumpul beratus-ratus barangan. Ia menunjukkan rakyat Malaysia sebenarnya 'gila' baik," katanya.

Malah, beliau berkata sambutan di kalangan pembeli juga amat 'panas' dan barangan yang dijual pada waktu itu akan laris macam pisang goreng.

"Kebiasaannya barang yang dijual akan habis tapi kalau tak dapat habiskan juga, ia akan simpan di dalam stor dan dijual semula pada waktu lain," katanya.









Kuan Chee Heng, Pasar 10 Sen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain