suria

Kerajaan Tidak Pernah Mendiskriminasi Mana-Mana Kaum - Salleh

TENOM: Kerajaan tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana kaum hanya kerana warna kulit, anutan agama dan keturunan di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata sebaliknya rakyat di Malaysia bebas mengamalkan mana-mana agama dan perayaan masing-masing.

"Ini adalah janji kita (kerajaan) semasa negara kita dibentuk (penubuhan Malaysia). Kerajaan akan sentiasa mempertahankan hak semua kaum dan agama tanpa ada sebarang diskriminasi dan ia akan dipertahankan sampai bila-bila.

"Kerajaan akan pastikan tiada perayaan dan hak mana-mana kaum di seluruh negara termasuk di Sabah dihapuskan atau diabaikan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin yang menghormati semangat kemerdekaan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Tarian Naga Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2017 Tenom dan Kemabong di sini, malam Jumaat.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah DatukRadin Malleh, Anggota Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kemabong, Datuk Rubin Balang.

Mengenai majlis itu, Salleh berkata perayaan Tahun Baharu Cina sentiasa diraikan bersama oleh semua kaum dan agama di Sabah setiap tahun.

"Ini membuktikan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama sentiasa saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu saya berharap amalan budaya seperti ini terus kita kekalkan demi keharmonian rakyat dan negara," katanya sambil mengumumkan peruntukan RM20,000 untuk tujuan mencantikkan kawasan Pekan Tenom bersempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Terdahulu, Salleh yang juga bendahari UMNO Malaysia menghadiri majlis makan malam bersama kepimpinan UMNO Bahagian Tenom.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau menyeru pemimpin dan anggota parti  bahagian berkenaan terus mengekalkan kerjasama dan perpaduan.

"Kita perlu terus bekerja bersama-sama membantu kerajaan untuk menjelaskan apa sahaja isu yang timbul (kepada rakyat). Selain itu beri sokongan padu kepada pucuk pimpinan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan," katanya.

Salleh Said Keruak

Artikel Lain