SINGAPURA: Seorang lelaki dari Sarawak yang melarikan diri sejak enam tahun lalu berikutan didakwa terlibat dalam kes kelar dan bunuh di Kallang pada 2010, pada Jumaat didakwa di mahkamah Singapura atas pertuduhan membunuh, lapor portal The Straits Times. Menurut laporan itu, Abdul Rahman Abdullah, 25, dituduh sebagai seorang daripada satu kumpulan yang membunuh warga India, Shanmuganathan Dillidurai, 41, di sebuah padang di Jalan Kallang dekat sungai berhampiran kondominium Park pada 30 Mei, 2010. Turut dikenali sebagai Donny Meluda, dia kini ditahan di Divisyen Polis Central dengan kebenaran untuk dibawa keluar bagi siasatan, menurutnya. Laporan itu menambah, Abdul Rahman, yang tidak diwakili peguam, akan dihadapkan semula di mahkamah pada 27 Januari. Jika disabit kesalahan, dia berdepan hukuman mati. Sementara itu, TODAYonline.com melaporkan kejadian jenayah pada 2010 itu melibatkan rompakan dan mengelar dua warga India dan seorang warga Singpaura sebelum kumpulan itu menyerang Shanmuganathan. Tiada pengakuan direkodkan daripada Meluda hari ini. Tiga rakan subahat Meluda, kesemuanya juga dari Sarawak, yang ditahan pada 2010, telah disabitkan. "Hairee Landak dihukum penjara 33 tahun dan 24 sebatan, Micheal Garing dijatuhi hukuman mati dan Tony Imba dihukum penjara seumur hidup dan 24 sebatan," jelas laporan berkenaan. Menurut laporan The Borneo Post, Donny ditahan di Sibu, Sarawak pada Sabtu lepas dan diserahkan kepada polis Singapura pada 18 Januari lalu.