JOHOR BARU: Seorang anggota polis maut dalam satu kemalangan ngeri apabila dia tidak sengaja tertembak diri sendiri tiga kali di bahagian dada semasa cuba melakukan kerja penyelenggaraan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini. Mangsa yang dikenal pasti sebagai Sarjan Abu Bakar Pander, 51, dari Seremban ditemui mati oleh rakan sekerjanya kira-kira pukul 7 pagi Khamis. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Jokhiri Abd Aziz berkata kejadian berlaku antara pukul 6.20 pagi dan 6.50 pagi di bilik stor penyimpanan peluru ibu pejabat polis tersebut. Katanya, semasa kejadian, mangsa sedang bekerja sendiri di dalam bilik stor itu semasa menjalankan kerja penyelenggaraan ke atas beberapa senjata. "Beberapa das tembakan kedengaran yang terkena dada mangsa dan menyebabkan kematiannya," kata Jokhiri dalam satu kenyataan pada Jumaat. Beliau berkata mangsa yang mempunyai 30 tahun pengalaman bekerja ditemui terbaring di atas lantai oleh rakan sekerjanya. Satu pasukan perubatan dari Hospital Sultan Ismail dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa telahpun meninggal dunia. "Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian mangsa. Kami mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa. "Mayat mangsa dibawa ke Seremban untuk dikebumikan," kata Jokhiri.