suria

Himpunan RUU355 Perlu Dapat Kerjasama Pelbagai Pihak - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Usaha PAS untuk mengadakan Himpunan RUU355 dilihat sebagai tindakan yang baik dan ia harus mendapat kerjasama pelbagai pihak, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan Umno itu berkata, parti berkenaan bagaimanapun belum membuat keputusan sama ada akan menyertai himpunan tersebut yang dijadual berlangsung 18 Februari ini.

"Secara peribadi apa-apa usaha untuk memberikan penjelasan dan penerangan seharusnya dialu-alukan kerana kalau kita rasa ada perkara yang tak jelas, pihak yang membawa RUU (Rang Undang-Undang) persendirian ini bertanggungjawab memberikan penjelasan.

"Kita tak harus prejudis dan tak harus melayan perkara seperti ini dengan emosi," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pembelajaran Permai, sebuah pusat pembelajaran bagi pelarian Afghanistan, kerjasama Yayasan Persahabatan Malaysia (Permai) dan Yayasan Global Muslim In Need.

Beliau ditanya sama ada Umno telah membuat keputusan untuk menyertai perhimpunan anjuran PAS itu atau sebaliknya.

"Secara rasmi belum ada apa-apa keputusan, kemungkinan sudah ada jemputan dan kalau ada jemputan saya percaya setiausaha agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) akan membawanya ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti dan jika perlu dibawa ke mesyuarat ahli Majlis Tertinggi parti 27 Januari ini," katanya.

Mengenai MCA yang membantah perhimpunan tersebut, Annuar berkata parti itu berhak menyuarakan pandangan dan keresahan mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan berhubung isu ini tetap akan dibuat secara konsensus sesama parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Saya fikir bantahan MCA tak harus dijadikan satu isu negatif. MCA berhak menyampaikan suara mereka seperti mana PAS yang berhak membawa RUU Persendirian.

"Soalnya bagaimana dapat kita duduk dan mencari satu bentuk persefahaman dan saya yakin akan ada penyelesaian kepada isu ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan tersebut Annuar berkata, PAS bertanggungjawab memberi penjelasan kepada seluruh lapisan masyarakat mengenai RUU355, tidak setakat umat Islam semata-mata.

"Bila mahu adakan sesuatu undang-udang di bawah Akta Parlimen dan ia ditujukan secara agak eksklusif bagi penguatkuasan satu segmen (orang Islam) tapi mereka tak boleh nafikan bahawa kita hidup dalam pelbagai kaum dan agama.

"Sebarang keresahan yang ada harus diberi perhatian," katanya.

November lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mencadangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355 di Dewan Rakyat.

Himpunan RUU355 dianjurkan bagi mendapatkan sokongan masyarakat terhadap usul RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1965 yang turut dikenali sebagai RUU355.

Artikel Berikut

Artikel Lain