RAWANG: Polis menasihatkan orang ramai agar berhenti menyebarkan nombor plat kenderaan Mercedes Benz yang terbabit dalam kes seorang pemandu lori dibelasah sekumpulan individu di tempat letak kereta kondominium Puncak Anthenaneum, Bukit Antarabangsa dekat sini, Sabtu lepas. Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis sedang menjalankan siasatan dan akan mengenakan tindakan sewajarnya ke atas mereka yang disyaki terlibat. "Orang ramai tidak perlu risau kerana polis melihat perkara ini secara serius...walaupun mereka mendakwa kedua-dua belah pihak telah menyelesaikan perkara itu namun polis masih menyiasat dan akan mengenakan tindakan tegas," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan di sini Sabtu. Abdul Samah berkata individu terlibat diminta segera menyerahkan diri kepada polis sebelum ditangkap kerana pihaknya telah mengenal pasti beberapa suspek susulan penahanan seorang lelaki pada Jumaat. Katanya lelaki berusia 32 tahun yang ditahan itu direman selama empat hari bermula Jumaatbagi membantu siasatan. Beliau berkata polis juga sedang mengenal pasti beberapa lagi suspek yang disyaki terlibat dengan kejadian itu berdasarkan penelitian rakaman video kejadian yang tular di laman sosial. Kes itu mendapat perhatian ramai apabila rakaman video yang tidak diketahui sumbernya menjadi tular di laman sosial yang memperlihatkan aksi beberapa lelaki membelasah mangsa yang terbaring di jalan raya selama beberapa minit. Terdahulu, seramai 126 anggota yang dinaikkan pangkat secara lantikan daripada konstabel sokongan kepada konstabel menamatkan latihan kepolisan asas selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa di sini. Seramai 64 anggota wanita dan 13 lelaki turut menamatkan latihan asas kepolisan selama empat bulan sebagai konstabel sokongan. Abdul Samah berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan penyertaan lebih ramai wanita dalam pengambilan anggota baharu. Beliau berkata PDRM dijangka mengambil seramai 1,741 anggota baharu tahun ini bagi mengisi kekosongan jawatan 224 pegawai berpangkat inspektor dan 1,517 anggota berpangkat konstabel.