suria

DCA Ketuai Pasukan Bertindak Kendali Urusan MH370 - Liow

Liow Tiong Lai.

PUTRAJAYA: Pasukan bertindak, diketuai Jabatan Penerbangan Awam (DCA), akan diwujudkan untuk mengendalikan semua urusan berkaitan pesawat MH370 yang hilang berikutan penggantungan misi pencarian dalam laut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini termasuk mengendalikan maklumat dan serpihan yang mungkin ditemui pada masa depan dengan komitmen berterusan kerajaan Australia, China dan Malaysia.  

"Kami tetap berharap semua ini akan mengarahkan kepada bukti yang kukuh, bagi membolehkan kita mendapat jawapan dalam usaha mencari pesawat itu.

"Adalah penting untuk menyatakan semua keputusan berhubung MH370 telah dan akan sentiasa dilakukan menerusi semangat kerjasama tiga pihak." katanya dalam kenyataan dari Perth, Australia.

Tiong Lai berkata, dalam hal yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sokongan dan kerjasama yang diberikan kerajaan Australia dan China memainkan peranan penting dalam saat yang begitu mencabar untuk negara.

Katanya, keputusan menggantung misi mencari dalam laut bukan sesuatu yang mudah atau tanpa rasa sedih.

"Ketika gabungan kajian saintifik terus memperhalusi kebarangkalian dalam pencarian, setakat ini tiada maklumat baharu ditemui untuk menentukan kedudukan spesifik pesawat itu," katanya.

Tiong Lai berkata, beliau menyertai Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester dan Ketua Pengarah Pusat Kordinasi Penyelamat Maritim China, Zhi Guanglu untuk menanti kepulangan kapal Fugro Equator di Kompleks Marin Australia, Port Henderson, Isnin.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya merakamkan penghargaan tinggi kepada kru Fugro Equator atas komitmen dan usaha mereka dalam pencarian terbesar dalamsejarah penerbangan," katanya.

Beliau tidak dinafikan ia adalah tugas yang mencabar untuk kru yang terlibat dalam operasi mencari itu sejak bermulanya pencarian dalam lautan bagi pesawat MH370 pada Jun 2014.

"Komitmen, profesionalisme dan dedikasi mereka dalam operasi mencari bagi mendapatkan jawapan untuk keluarga dan orang yang disayangi oleh mereka yang berada di dalam pesawat itu sememangnya disanjung tinggi," katanya.

Minggu lalu, operasi mencari MH370, yang merangkumi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi digantung, selepas hampir tiga tahun sejak pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pencarian pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang sehingga kini menelan kos RM500 juta, hanya akan disambung semula jika terdapat maklumat dan bukti konkrit pada masa depan.

Pesawat MH370 hilang daripada skrin radar pada 8 Mac 2014 dan berikutan itu misi mencari dijalankan secara berterusan di Lautan Hindi bagi mengesan pesawat jenis Boeing 777-200ER berkenaan.

Tiong Lai mengakui ia adalah detik yang sukar bagi keluarga 227 penumpang dan 12 anak kapal yang berada di dalam pesawat itu.

"Saya ingin menegaskan bahawa harapan untuk mengesan MH370 tidak diketepikan kerana pasukan pakar yang diketuai ATSB (Biro Keselamatan Pengangkutan Australia) terus menganalisis data secara komprehensif dalam usaha mengesannya," katanya.

Tiong Lai berkata, pencarian MH370 membabitkan kecanggihan sains dan teknologi, selain menguji usaha manusia di kawasan yang belum diterokai di dunia.

"Ini adalah kawasan terpencil dengan keadaan laut dan cuaca yang agak teruk serta ombak yang mencapai ketinggian antara 15 dan 20 meter," katanya.

Oleh itu, Tiong Lai berkata, ia adalah satu cabaran untuk pasukan mencari dan menyelamat dan kerajaan Malaysia, Australia serta China sangat terhutang budi. - Bernama

M370, DCA

Artikel Lain