suria

Penganjur Kem Motivasi 'Bogel' Akui Mereka Keterlaluan - Polis

BENTONG: Pengendali kem motivasi yang mengundang kontroversi apabila 39 pesertanya berbogel di padang permainan sebuah resort di sini pada petang Sabtu, mengakui mereka "keterlaluan" dalam menjalankan program itu. 

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, perkara itu diakui mereka semasa dipanggil memberi keterangan pada malam kejadian, selain turut menyedari perbuatan mereka salah.

"Hasil soal siasat mendapati 39 peserta yang berumur 19 hingga 23 tahun, termasuk 23 pelajar itu hanya mengikut arahan yang diberikan kepada mereka semasa program tersebut dilaksanakan," katanya kepada Bernama, di sini Isnin.

Mohamad Mansor berkata, kesemua peserta dan sembilan wakil syarikat serta fasilitator termasuk dua wanita telahpun dibebaskan dengan jaminan polis secara berperingkat sehingga pukul lima petang semalam selepas diambil keterangan. 

Katanya, siasatan juga mendapati pihak pengurusan resort berkenaan tidak terlibat dalam penganjuran kem motivasi itu dan hanya bertanggungjawab untuk menyewakan tempat, menyediakan peralatan serta makanan.

Mereka difahamkan langsung tidak tahu-menahu tentang kejadian tersebut sehinggalah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan pada malam kejadian, katanya.

Beliau berkata, syarikat dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur itu pernah menyewa resort berkenaan sebanyak dua kali sebelum ini untuk penganjuran kem motivasi, namun difahamkan modul 'berbogel' tersebut kali pertama dilakukan. 

"Kertas siasatan berhubung kes ini hampir selesai dan polis telahpun mengambil keterangan semua pihak terlibat termasuk pihak syarikat, peserta, penduduk dan pengurusan resort.

"Ia dijangka dapat disiapkan dalam minggu ini sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk tindakan selanjutnya," kata Mohamad Mansor.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana kelakuan lucah di khalayak awam yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan dan denda.

Dalam kejadian 5.30 petang Sabtu, 39 peserta sebuah kem motivasi dilaporkan berbogel di kawasan padang sebuah resort di sini ketika bermain satu permainan dinamakan 'All Out'. 

Dalam permainan itu peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dikehendaki membuat garisan panjang dengan menggunakan alatan yang ada pada mereka menyebabkan peserta menanggalkan pakaian masing-masing sehingga berbogel.

Berikutan itu polis menahan 48 orang iaitu 39 peserta dan sembilan fasilitator serta wakil syarikat pada 12.30 tengah malam Ahad bagi membantu siasatan. - Bernama

Artikel Lain