KUALA LUMPUR: Polis Cawangan Khas Bukit Aman berjaya melumpuhkan satu sel baharu pengganas Daesh yang merancang untuk menjadikan Sabah sebagai pusat transit anggota pengganas rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan sebelum ke Filipina untuk bergabung dengan anggota pengganas lain. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dalam satu operasi khas selama seminggu, polis menahan empat individu iaitu tiga warga asing terdiri rakyat Bangladesh dan Filipina serta seorang wanita warga tempatan di sini dan Kota Kinabalu disyaki anggota kumpulan pengganas Daesh. Menurutnya, semua suspek berumur 27 hingga 31 tahun ditahan oleh Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas, Bukit Aman dalam operasi berasingan antara 13 Januari dan 19 Januari lepas. "Dengan tangkapan ini pihak cawangan khas berjaya melumpuhkan satu sel baharu pengganas Daesh yang merancang untuk menjadikan Sabah sebagai transit oleh anggota pengganas dari rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan bagi tujuan menyusup masuk ke Filipina," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. Menurutnya, suspek pertama, lelaki Filipina berumur 31 tahun dan bekerja sebagai penjual jam ditahan di Kota Kinabalu pada 13 Januari lepas, adalah anggota sel (kumpulan) pengganas Daesh di bawah pimpinan Dr Mahmud Ahmad, bekas pensyarah Universiti Malaya yang menyertai Daesh di Selatan Filipina. "Suspek yang berbaiah dengan Dr Mahmud Ahmad telah diarah untuk merekrut dan mengatur penyusupan masuk anggota-anggota baharu Daesh dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingnya ke selatan Filipina bagi tujuan menyertai kumpulan Daesh di Marawi City, Mindanao di Filipina," katanya. Menurut Khalid, suspek kedua ialah seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang turut ditahan bersama suspek pertama di Kota Kinabalu. "Suspek (wanita) yang tidak mempunyai pekerjaan berasal dari Selangor dan telah direkrut pada awal bulan ini melalui media sosial," katanya. Beliau berkata, wanita itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Januari lepas untuk bertemu suspek pertama di Kota Kinabalu sebelum mereka dipercayai merancang untuk berlepas ke Sandakan sebelum menyusup masuk ke selatan Filipina. Menurutnya, dua lagi suspek terdiri warga Bangladesh berusia 27 dan 28 tahun yang bekerja sebagai jurujual dan direkrut oleh suspek pertama ditangkap di sini pada 19 Januari lepas. "Mereka berdua disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh yang beroperasi di Bangladesh," katanya. Khalid berkata, hasil soal siasat mendedahkan bahawa sel yang diketuai Dr Mahmud ini telah bergabung dengan kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) pimpinan Isnilon Hapilon yang berbaiah dengan Abu Bakar Al Baghdadi pemimpin Daesh. Menurutnya, selain Dr Mahmud, dua lagi rakyat Malaysia iaitu anggota Darul Islam Sabah Amin Bacho dan Joraimee Awang didapati turut menyertai sel itu yang kini beroperasi di Marawi City, Mindanao. Katanya, kesemua suspek itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). - Bernama