KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran sebanyak RM1.4 juta kepada sebuah institusi kewangan kerana terlibat dalam penetapan kadar pertukaran dolar AS/ringgit. BNM dalam satu kenyataan di sini, Selasa, berkata institusi kewangan itu gagal memberitahu bank pusat dengan segera mengenai hasil siasatan audit penting berkaitan salah laku peniaga wangnya yang terlibat dalam penetapan kadar pertukaran dolar AS/ringgit. Bagaimanapun, institusi kewangan tersebut membayar penalti yang dikenakan, kata BNM. Bank pusat berkata, institusi kewangan tersebut dipantau dengan rapi dan diarahkan untuk menangani kelemahan dalam kawalan dalamannya bagi memastikan pemakluman segera dibuat hasil daripada siasatan yang nyata serta mengkaji semula dasar, prosedur dan amalan dalaman dan menyediakan mekanisme pengawasan yang mantap untuk menghalang kegiatan salah guna pasaran. "Institusi kewangan itu telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk menangani kelemahan tersebut dan menghalang kegiatan itu daripada berulang," kata BNM. Justeru itu, bank pusat mengingatkan kepada semua institusi kewangan bahawa kegiatan manipulasi pasaran wang dan pertukaran asing adalah dilarang di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA). "Institusi kewangan yang mengetahui tentang hasil siasatan sedemikian dikehendaki memberi tahu bank pusat dengan segera seperti yang dikehendaki di bawah FSA. "Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tersebut," kata bank pusat. BNM berkata ia akan terus memantau aktiviti pasaran dengan teliti bagi memastikan peserta pasaran tidak terlibat dalam kegiatan manipulasi pasaran wang dan pertukaran asing. "Menjadi tanggungjawab bank pusat untuk melaksanakan mandatnya di bawah undang-undang bagi memastikan kepentingan orang ramai dan pelabur sebenar terpelihara setiap masa," kata BNM. - BERNAMA