KUALA LUMPUR: Tindakan menyenaraihitam pemandu Uber dan GrabCar yang tidak mematuhi peraturan akan diteliti sebelum dicatat dalam rang undang-undang bagi mengawal selia perkhidmatan ‘e-hailing’ yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, Mac ini. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, tindakan itu sekali gus melarang pemandu perkhidmatan itu yang ingkar untuk memperbaharui cukai jalan. “Senarai hitam (ulat Uber dan GrabCar) akan dimasukkan,” kata Ab Aziz mengenai rang undang-undang yang bakal dibentangkan di Parlimen itu. Terdahulu, mStar Online dalam laporan khas bersirinya mendedahkan tindakan kelompok pemandu Uber dan GrabCar yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang, gara-gara persaingan tinggi di lokasi berkenaan. Portal berita ini telah menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran. Ab Aziz berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditempatkan di KLIA dan KLIA2 bagi melakukan pemantauan dan penguatkuasaan dalam membanteras salah laku pemandu terutama kegiatan ‘ulat’. “Kita akan banteras kerana ‘ulat-ulat’ ini tidak dibenarkan. Operasi dilakukan untuk memantau dan kita sentiasa mendapat kerjasama daripada MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad) selaku pentadbir di lapangan terbang,” katanya. Ab Aziz berkata, setakat ini adalah memadai memperkenalkan kad pemandu kepada pemandu Uber dan GrabCar yang berdaftar. “Semua yang menggunakan aplikasi ini, butiran mereka akan tertera dalam aplikasi untuk pengetahuan setiap penumpang. “Jadi, saya berpendapat ia (kad pemandu) sudah mencukupi,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan mempamerkan butiran pemandu di papan pemuka kereta Uber dan GrabCar sebagaimana dilaksanakan pemandu teksi. Mengikut rekod SPAD, sebanyak 13 pemandu Uber/GrabCar didapati bersalah kerana menjalankan kegiatan ‘ulat’ di KLIA dan KLIA2 sepanjang 2016. JPJ turut mencatatkan tangkapan 12 ‘ulat’ Uber/GrabCar yang beroperasi di dua lapangan terbang utama negara dari Januari sehingga Oktober tahun lalu.