suria

Lima Pegawai Kanan Felda Termasuk Datuk Ditahan, Seleweng Lebih RM47 Juta

Antara barang kemas yang dirampas dalam Op Caviar.

PETALING JAYA: Lima individu, termasuk seorang bergelar 'Datuk' yang juga pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan diri melibatkan projek ikan sturgeon di Pahang mencecah lebih RM47 juta.

Mereka yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa melibatkan pengawai tinggi Felda iaitu Pengarah Besar yang bergelar Datuk, 57; Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik), 53; ketua hartanah London GLC itu yang berusia 38 tahun, pegawai Projek Sturgeon, 30, dan penolong pegawai tadbir Felda, 33.

Kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang di antara jam 11.30 pagi dan 1.30 petang menerusi Op Caviar.

Menurut sumber, kesemua suspek disyaki terlibat dalam penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Pentenakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira AS$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014.

Difahamkan, pada Januari 2013, mesyuarat telah diadakan berhubung projek tersebut, bagaimanapun Lembaga Pengarah telah meminta suspek yang berusia 53 tahun untuk menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek tersebut untuk dibentangkan kepada Lembaga Pengarah.

Bagaimanapun, suspek tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan telah menubuhkan Felda Carviative Sdn Bhd (FCSB) pada Januari 2014 dan seterusnya menandatangani perjanjian dengan syarikat penternakan ikan Sturgeon di Korea bernilai AS$45 juta(RM146.25 juta).

Barang yang dirampas SPRM semasa serbuan tersebut.

Sumber itu berkata, siasatan awal SPRM mendapati, projek tersebut tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar Pahang, tetapi pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea tersebut seminggu selepas penubuhan FCSB.

Menurut sumber itu lagi, disebabkan unit kewangan juga bawah pengurusannya, suspek setakat ini  telah meluluskan kira-kira AS$10 juta (RM46.5 juta) daripada dana Felda untuk membuat pembayaran kepada syarikat Korea tersebut melalui FCSB tanpa pengetahuan dan kelulusan Lembaga Pengarah sebelum menandatanggani perjanjian tersebut.

Perjanjian kontrak bagi pelaksanaan projek Ikan Sturgeon yang ditandatanggani itu adalah meliputi pelaksanaan Technology Transfer Service Agreement (TTSA) dan Design and Build Construction Agreement (DBCA).

Perjanjian ini dipercayai telah ditandatanggani suspek bergelar Datuk dan suspek berusia 53 tahun yang juga merupakan Pengarah FCSB.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

"Dokumen berhubung projek tersebut telah dirampas bagi membantu siasatan SPRM," katanya.

Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman esok.

SPRM, Felda, sturgeon

Artikel Lain