BENTONG: Tun Dr Mahathir Mohamad terlalu menumpukan agenda politik hingga mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman berkaitan projek Forest City di Johor dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pelaburan dari China itu sebenarnya dapat membantu dalam pembangunan negara, sebaliknya pembangkang telah menjadikannya isu perkauman dan boleh menggugat hubungan kedua-dua negara. "Apabila pelabur asing datang ke Malaysia, mereka perlu mematuhi undang-undang negara ini. Tentunya kerajaan akan melindungi kepentingan rakyat negara ini. "Tindakan 'menyerang' projek Forest City dan kereta api laju itu menunjukkan Dr Mahathir telah menyimpang daripada matlamat sebenar. "Pembangkan terlalu fokus kepada agenda politik dan membentuk perbezaan sedangkan negara memerlukan pembangunan dan penyertaan rakyat berbilang bangsa untuk membentuk negara yang hebat," katanya. Malahan, kata Tiong Lai, DAP juga telah bersama-sama pakatan pembangkang untuk melabelkan MCA sebagai ejen kepada China. "Keharmonian rakyat berbilang bangsa negara ini tidak sepatutnya dibiarkan musnah oleh pemimpin terlibat," katanya. Menerusi blognya, Dr Mahathir telah mendakwa lebih 700,000 warga China akan dibawa ke Forest City, seterusnya diberi kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menerusi temu bual ekseklusif bersama The Star mendakwa Dr Mahathir sengaja mengetengahkan isu perkauman walaupun ia tidak memberi kesan kepada rakyat di negeri itu. Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan, kenyataannya itu dibuat berdasarkan laporan Bloomberg berkaitan projek Forest City.