BENTONG: Waris penumpang dan kru pesawat malang, MH370 akan diberi taklimat berkaitan misi pencarian penerbangan itu selepas Tahun Baharu Cina, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai. Menteri Pengangkutan itu berkata, Malaysia Airlines (MAS) akan mengatur pertemuan itu termasuk lokasinya. "Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) bersetuju untuk menghantar pakar bagi menjelaskan secara terperinci kepada ahli keluarga mangsa," katanya selepas program jelajah mesra di sini, Selasa. Tiong Lai baru pulang dari Perth, Australia di mana beliau menerima Fugro Equator, salah sebuah kapal yang terlibat dalam pemetaan di dasar laut Lautan Hindi. Beliau berkata, pencarian secara besar-besaran untuk pesawat yang hilang meliputi 120,000 kilometer persegi untuk tempoh tiga tahun telah digantung sementara. Bagaimanapun, proses analisa data dan gambar yang dirakamkan sepanjang operasi itu akan diteruskan. Tambah Tiong Lai, pasukan respons yang diketuai Jabatan Penerbangan Awam akan dibentuk untuk mengendalikan hal berkaitan MH370. Pasukan itu akan turut disertai Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, MAS dan beberapa agensi lain. Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur.