Suzirah Basar, 46, berharap pasukan mencari dan menyelamat menemui anaknya dalam keadaan selamat.
"Mak cik harap Fais selamat," katanya ketika ditemui Bernama Rabu.
Menceritakan detik kejadian itu, adik mangsa Norhaslizah Nordin, 16, berkata abangnya memberitahu dia ingin pergi menyelamatkan barang-barang di rumah mereka yang ditinggalkan akibat banjir.
Mohd Fais dilapor menaiki bot bersama bapa saudara, sepupunya serta dua rakannya dari rumahnya di Jalan Pemuda, Kampung Tengah untuk menyelamatkan barangan yang ditinggalkan.
Bot terbabit kemudiannya dikatakan bergesel dengan dua lagi bot lain sehingga menyebabkan bot berkenaan dimasuki air dan terbalik.
Empat penumpang bot itu sempat diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang berada di tempat kejadian, manakala mangsa dihayutkan arus deras.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat ketika dihubungi berkata operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 5.30 petang Rabu dan akan disambung semula 7 pagi esok.
"Sehingga kini kawasan pencarian sekitar radius tiga kilometer dari tempat kejadian dan kita masih belum menjumpai mangsa walaupun pasukan penyelam skuba dari pasukan bomba melakukan selaman sedalam 12 kaki," katanya.