SEMINGGU selepas ditemu duga, aku mendapat jawapan positif. Setiap urusan dengan Qatar Airways selepas itu adalah melalui portal mereka sepenuhnya. Bermulalah kesibukan menyediakan dokumentasi dan membuat pemeriksaan kesihatan. Hari-hari berikutnya terpaksa aku tempuhi dengan gagah apabila setiap hari isteri tersayang memberi pandangan sayu yang mematahkan setiap sendi. "Dah betul-betul nekad nak pergi?" Itu soalan lazim yang akan ditanya pada aku. Yang mampu ku balas adalah sepotong sepi yang menghiris. Dan anggukkan yang tidak bisa lagi mententeramkan keadaan. Waktu itu, aku bagai seorang novelis yang kehilangan upaya untuk mengeja dan menyusun sebaris ayat. Aku bukan lagi gergasi, aku bukan lagi wira. Aku menjadi pelarian pada kenyataan yang saban hari menolak dinding-dinding yang mahu menghimpit kami di tengah. "Betul-betul nekad hendak pergi?" itu soalan yang tidak bisa terjawab walau beribu helai alasan dikarang. Mana mungkin aku mampu menjawab soalan itu dengan pasti sedangkan dialah yang nanti akan keseorangan menghadapi dinding-dinding yang menghimpit? "Dah hantar surat peletakan jawatan?" tanya Zulhilmi sewaktu dia melawat aku di bengkel. Jari-jemari aku serta-merta terhenti dari mengemas kini pelbagai borang yang perlu dilengkapkan. "Aaaa, belum," jawab aku, kaget. "Laaaa awatnya?" terus sahaja loghat utara meluncur laju dari mulut Zulhilmi. "Hang nak tunggu apa lagi? Dah la notis tiga bulan." "Depa tak bagi lagi visa dengan surat tawaran." "Tak pa. Hang kompem dah dapat ni. Tulis surat cepat." "Kalau tak nak pergi, boleh tak?" "Ceh hang ni! Dah susah payah temu duga, ni hang tak mau pulak? Hang nak duk dalam ni lagi buat apa? Pi la, cuba nasib kat tanah orang pulak." Pintu bengkel dibuka dan ditutup kemudiannya. Aku dan Zulhilmi mendongak untuk melihat siapa yang datang. Rupanya Zaid, mekanik yang ditugaskan untuk membantu aku di dalam bengkel. "Orang Qatar, orang Qatar. Hahahaha," kata dia sebaik saja melihat kami. Dan bengkel Avionic riuh dengan celoteh kami bertiga. Keakraban ini sesuatu yang sukar dicari ganti dan aku akan merinduinya kemudian. TUNGGU HABIS PANTANG Bulan November aku menyerahkan surat peletakan jawatan. Paling terkilan ialah, ketika aku menyerahkan surat tersebut, ia diterima tanpa banyak soal dari pihak pengurusan. Membacanya pun tidak. Nampak ketara benar aku jahat, ha ha ha. "Abi nak pergi Disember ni?" tanya isteri selepas aku memberitahu, mereka mahu aku melapor diri di Disember. "Eh, taklah. Dia orang yang suruh lapor Disember. Tapi dah mintak tangguh sampai Mac 2014. Awak bersalin bulan Januari kan? Takkan nak biar awak seorang diri. Tunggu lepas habis pantang la baru pergi," jelas aku. "Lagipun nanti siapa nak azankan baby, kan?" Dia senyum sahaja mendengar penjelasan itu. Aku harap dengan menangguhkan seketika pemergian, mampulah aku memberikan lebih masa untuk dia bersedia. Walau tak banyak, sikit cukuplah untuk mengumpul kekuatan. Pada Januari lahirlah Naeem Nafiz, penambah seri keluarga kami. Mencukupkan tiga anak lelaki bagi kami suami isteri. Mac datang dengan pantas. Tinggal dua minggu lagi sebelum aku berangkat pergi. Maka sibuklah menyiapkan segala kelengkapan. Dari pakaian hingga ke makanan. Segalanya aku rujuk kepada Zulhilmi tentang apa yang perlu di bawa: berapa ringgit perlu ada, adakah kuasa voltan plug tiga pin di sana sama dengan Malaysia, dan sebagainya. Tapi pernah tak kalian melalui pengalaman sesuatu yang dirancang sebaik mungkin tiba-tiba gagal? Pada aku, itulah ketentuan Tuhan. Segala rancangan persiapan sudah diatur dengan baik - daripada passport, tiket, beg, dokumentasi dan pakaian yang hendak dibawa. Hari itu hari Ahad. Hari kejadian. Satu dugaan daripada Tuhan. Kami sekeluarga berada di Nilai bagi membeli keperluan rumah dan juga bekal untuk aku di sana nanti. Seusai membeli, dengan troli yang sarat kami mahu menuju ke parkir. Tiba-tiba hati aku terasa kasihan pula melihat isteri yang mendukung anak hendak meredah kepanasan di luar. "Awak duduk la kat sini dulu. Biar saya pergi ambil kereta dan simpan barang-barang ni. Panas sangat kat luar tu," kata aku. TANGAN PATAH PULAK Itu kesilapan pertama. Kesilapan kedua, membiarkan isteri aku menjaga anak-anak aku yang lagi lagi orang - Adib dan Muaz. Yang sedang di puncak kenakalan. Aku bergegas ke kereta. Pantas menyimpan barang-barang dan menghidupkan enjin kemudiannya. Keluarkan kereta dari kotak parkir dan menuju ke tempat isteri dan anak-anak menunggu. Tidak perlu lama, sampai sahaja aku di situ, aku melihat isteri sudah menunggu di luar dengan wajah cemas. Adib, anak sulung aku pula dengan wajah menahan sakit teramat. Masuk ke kereta, tanpa perlu aku tanya, dia berkata: "Abi! Tangan Adib patah!" Aku menoleh ke arah Adib yang sudah menangis sambil menahan tangannya. Tengah hari itu yang dirancang untuk menyudahkan persiapan, makan bersama dan meluangkan masa dengan bermakna, akhirnya bertukar ke 'ziarah' hospital. Ya. Tulang lengan anak aku patah dua hari tu akibat bermain dengan pintu gelangsar. Dan kerana itu, aku terpaksa menghubungi semula Qatar Airways dan meminta tunda kedatangan aku untuk kali kedua. Dan mereka memberi tarikh baru - 25 Mei 2014. Dugaan ini aku terima dengan reda. Setidak-tidaknya dapat lagi kami sekeluarga meluangkan masa bersama. Mei pun datang dengan membuka jalan baru. Jalan yang harus aku dan isteri tempuhi keseorangan. KAHWIN PEREMPUAN ARAB Berjauhan dengan wajah-wajah tersayang. Memikirkannya sahaja sudah cukup untuk aku gagal menahan sebak. Malam itu cukup sunyi. Anak-anak sudah lama memasuki alam mimpi. Hanya tinggal kami suami isteri di ruang tamu mengemas pakaian. Hati lelaki ini menutur seribu kata tetapi malang mulut enggan melepaskan walau satu keluhan. Tinggal bungkam. "Nanti jangan tiba-tiba dapat berita kahwin dengan perempuan Arab sudahlah," kata dia tanpa memandang aku dan sambil mengemas beg. Dan dengan niat untuk melawak bagi memecah hening yang berbongkah ini, aku pun berkata, "Kalau betul pun, apa salahnya?" Sambil memandang dia. "Hish!" Isteri menolak beg sambil memandang aku dengan pandangan paling tajam yang belum pernah aku saksikan. Dia bingkas bangun, masuk ke dalam bilik dan menutup pintu. Aisehmen, tidur luarlah nampaknya aku malam ini.