suria

Polis Thailand Tangkap Penjenayah Malaysia Paling Dikehendaki

Seorang penjenayah warga Malaysia ditahan oleh Polis Songkla dua hari lepas kerana terlibat merompak sebuah kedai emas di Hatyai pada 6 Januari lepas, selain dipercayai terbabit dalam pelbagai kes jenayah lampau di Malaysia dan Thailand. Foto Bernama

HATYAI: Seorang ketua kongsi gelap 'Geng 04' warga Malaysia yang menjadi buruan polis Thailand dan Malaysia sejak 10 tahun lepas akhirnya berjaya ditangkap di rumah sewanya di sini, dua hari lepas.

Ketua Bahagian Siasatan Polis Wilayah Songkla, Kol. Sakda Jarengkul berkata, Ye Boon Long, 53, atau nama gelarannya 'Ar-Hu' ditahan polis kerana merompak sebuah kedai emas dengan bersenjatakan pistol di Jalan Montree di sini, 6 Januari lepas.

Dalam kejadian itu, dia dipercayai melarikan barangan kemas seberat 1.7kg bernilai 2.3 juta Baht (kira-kira RM290,000), katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah sewa itu, polis telah menemui beberapa barangan kemas, wang tunai 127,400 Baht (RM16,000), sepucuk pistol 9mm, 50 butir peluru dan baju serta motosikal yang digunakannya ketika rompakan itu.

Pada Selasa, warga Malaysia itu dibawa kembali ke kedai emas terbabit untuk menunjukkan cara dia merompak premis berkenaan.

Menurut Sakda, 'Ar-Hu' juga memiliki rekod jenayah lampau di Malaysia dan Thailand, termasuk dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes rompak dan bunuh di kedua-dua negara itu.

Beliau juga dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan dua warga Thailand di Songkla pada 2014.

"10 tahun lepas, beliau juga dipercayai terbabit dalam kes rompakan kedai emas di Butterworth melibatkan barangan kemas bernilai 50 juta Baht (RM6.4 juta)," katanya.

Selepas kejadian itu, dia melarikan diri ke Thailand dan bersembunyi di Chiang Mai selama 10 tahun, menggunakan identiti palsu yang dibelinya dengan harga 250,000 Baht (RM32,000).

Warga Malaysia itu hanya terbabit dalam kes-kes rompakan yang besar, menurut beliau.

Sakda berkata, warga Malaysia itu dikenakan tiga tuduhan iaitu merompak, memiliki senjata dan peluru tanpa izin dan membunuh. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan