suria

Jangan Salah Guna Sumbangan Kepada Mangsa Banjir - Tengku Abdullah

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menaiki bot bagi meninjau keadaan banjir di Kampung Temai pada Sabtu. Foto: Bernama

PEKAN: Rakyat di negeri ini yang tidak terjejas denganbanjir diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menggunakan kemudahan dan barangan yang disediakan untuk mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini.

Ingatan itu disuarakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah setelah mendapati ada pihak yang mengambil barangan dan makan di pusat pemindahan walaupun mereka bukan mangsa banjir.

"Saya perhatikan di negeri ini apabila ada musibah, ramai yang datang membantu tidak kira agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan.

"Namun dalam masa yang sama, ada yang datang tetapi tak membantu, tapi bantu makan makanan untuk mangsa banjir...janganlah orang tidak ada kaitan ambil gula, beras dan makanan untuk mangsa, ini tidak adil bagi mereka," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat menaiki bot melawat dan menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Temai yang ditempatkan di situ sejak Rabu lepas.

Turut berangkat ke melawat ke PPS berkenaan, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminan Maimunah Iskandariah.  Baginda sebelum itu turut meluangkan masa melawat  127 mangsa di PPS Kampung Rekoh, Muadzan Shah serta PPS Bukit Serok, Rompin yang menempatkan 226 keluarga Orang Asli.

Dalam masa yang sama, baginda turut mengingatkan pegawai dan agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan banjir supaya mengawasi barangan yang disediakan untuk kemudahan mangsa banjir bai mengelak ia hilang atau disalah guna.

"Jangan ada pembaziran, kita tahu pada masa kini harga barangan semakin naik dan inilah masa yang terbaik kita mengamalkan dasar berjimat cermat,"titah baginda. -Bernama

Tengku Abdullah, Banjir

Artikel Sebelum

Artikel Lain