suria

Malaysia Bina Jalan Diturap Getah Tahun Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima limau sebagai tradisi tarian singa daripada Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Datuk Seri Mah Siew Keong (kanan) ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PGRM di Menara PGRM, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mula membina jalan raya yang diturap getah tahun ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi,  Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata, keputusan tersebut dicapai semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu dengan butiran projek termasuk panjang laluannya masih pada peringkat perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya.

"Sebabnya (pembinaan) ialah kita mahu memastikan getah kita menjadi kukuh," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor and menteri-menteri kabinet.

Siew Keong yang juga Presiden Gerakan yakin pembinaannya akan bermula dalam tempoh beberapa bulan ini dan projek berkenaan akan menjana pendapatan tetap kepada kira-kira 440,000 pekebun kecil getah dan permintaan terhadap industri itu.

Beliau berkata, jalan yang akan dibina itu akan menggunakan campuran bitumen dan ketul getah.

"Kita telah memulakan kajian mengenai jalan diturap getah tiga tahun lalu dan setakat ini hasilnya sangat baik. Lembaga Getah (Malaysia) telah membuktikan walaupun ia 16 peratus lebih mahal, tetapi dalam jangka masa panjang,  penjagaannya akan menjadi lebih murah dan mampu menahan beban lebih berat.

"Kita faham ia merupakan langkah yang mahal bagi kementerian untuk terus memberi subsidi, oleh itu kita mesti meningkatkan permintaan terhadap getah," katanya.

Bagi memberi pendapatan berterusan kepada 550,000 pekebun kecil kelapa sawit dan lada pula, Mah berkata perdana menteri telah mengarahkan kementerian dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk bekerjasama dan melaksanakannya dalam skala lebih besar.

Sehubungan itu Kabinet telah meluluskan pembukaan pejabat serantau minyak sawit Malaysia di Tehran, Iran dan pusat teknikal dan kajian minyak sawit di Mumbai, India.

"Sebab itu saya akan ke Iran dan India minggu ini," tambahnya. - Bernama

Mah Siew Keong, Gerakan

Artikel Lain